Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bantuan Kerajaan Ubah Nasib Wanita Sabak Bernam

By 16 April 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Mohd Hafiz (Sabak Bernam)

SUNGAI BESAR, 16 April (MalaysiaAktif) – Bantuan kerajaan menjadi titik perubahan buat dua wanita di Sabak Bernam apabila berjaya mengubah kehidupan mereka daripada serba kekurangan kepada lebih stabil melalui perniagaan kecil-kecilan.

Norsakira Mat Said, 32, berkata sokongan berupa peralatan perniagaan seperti ketuhar, mesin pengadun dan peti sejuk beku memberinya peluang untuk memulakan perniagaan tanpa perlu memikirkan kos modal yang tinggi.

Gerai Sakira yang beroperasi di Bazar MARA Sungai Besar menjual kuih tart nenas dan pencuci mulut semasa bulan Ramadan yang lalu memberi peluangan yang lumayan

Menurutnya, keputusan mengikut suami pulang ke kampung di Sungai Air Tawar sebelum ini menimbulkan kebimbangan kerana bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami.

“Dulu saya harapkan suami sahaja, bila pindah kampung, nak mula berniaga perlukan modal besar, terutama peralatan yang bukannya murah,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, bantuan yang diterima membuka ruang untuknya berniaga secara lebih serius, sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga.

Sepanjang tiga tahun berniaga setiap kali Ramadan di Bazar MARA Sungai Besar, jualan tart nenas dan pencuci mulutnya mendapat sambutan menggalakkan.

“Alhamdulillah, pendapatan pada bulan Ramadan sahaja boleh mencecah RM6,000. Bantuan peralatan ini amat bermakna untuk mengembangkan lagi perniagaan saya,” katanya yang kini turut memanfaatkan pemasaran digital melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Baru Nelayan, Sungai Besar.

Kisah sama turut dikongsi usahawan kuih tradisional, Jumaidah Husin, 53, yang bangkit daripada kesukaran hidup sebagai ibu tunggal selepas kematian suami.

Katanya, kekangan peralatan sebelum ini menyebabkan beliau hanya mampu berniaga secara kecil-kecilan.

Kuih nona manis hasil air tangan Jumaidah antara yang paling laris menjadi rebutan di kedai-kedai sekitar Sungai Besar

“Bila saya dapat bantuan pengukus elektrik dan mesin pengadun, ia memberi semangat untuk saya bangkit berniaga,” ujarnya.

Kini, kuih tradisional seperti nona manis, apam gula hangus dan bingka ubi hasil air tangannya menjadi rebutan di kedai sekitar Sungai Besar.

Walaupun faktor kesihatan mengehadkan pergerakan, beliau tetap menerima tempahan khas dan bersyukur kerana keadaan ekonomi keluarganya semakin baik.

Kedua-dua mereka ditemui sempena program penyelidikan bertajuk Cabaran serta Pengalaman Wanita Keluar dari Garis Kemiskinan Tegar di Daerah Sabak Bernam yang berlangsung di Balai Raya Kampung Nelayan, semalam.

Program anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam itu bertujuan memahami realiti kehidupan, cabaran serta strategi wanita dalam usaha keluar daripada kemiskinan tegar.

Inisiatif tersebut selari dengan pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Basmi Miskin Tegar (BMT) di bawah Kementerian Ekonomi yang memfokuskan kepada sokongan keusahawanan dan latihan sebagai pemangkin peningkatan pendapatan golongan sasar.

-AA-

Tinggalkan komen anda