
Laporan/foto: Muhd Yusrie Othman/Junaidi Wahab/Ak Mohd Affendy Pg Omar (Beaufort)
BEAUFORT, 15 April (MalaysiaAktif) – Faktor usia bukan penghalang buat pesara Ketua Anak Negeri Majali Challi untuk terus berkarya sebagai pengukir arca.
Anak seni dari Kampung Pimping Membakut ini memastikan warisan seni kekal bergenerasi melalui kreativiti yang dikembangkan sejak usia remaja.
Majali, 72, berkata minat terhadap ukiran bermula sebagai hobi sebelum hasil karyanya mendapat perhatian peminat seni arca sehingga ke luar Sabah.

Antara arca binatang yang diperbuat daripada sabut kelapa dan kayu.
“Kemahiran bertukang ini dipelajari sejak muda ketika membantu bapa yang bekerja sebagai tukang rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini kelmarin.
Menurut Majali, proses menghasilkan arca menuntut kesabaran tinggi agar hasilnya memenuhi cita rasa pelanggan mengikut bentuk dan corak dikehendaki.
Selain kayu, beliau turut menggunakan bahan semula jadi seperti sabut kelapa yang lebih mudah diukir serta tidak memerlukan masa lama untuk disiapkan.
Antara hasil ukiran yang sering mendapat perhatian pelanggan termasuk replika binatang, peralatan membuat kuih, gendang tradisional dan cenderahati.
“Harga ukiran bergantung kepada jenis dan bahan yang digunakan selain saya turut menyumbang bakat membuat arca bertemakan MADANI di Pantai Kampung Pimping,” jelasnya.
Majali yang kini aktif bersama Komuniti MADANI pernah membantu komuniti diterajuinya memenangi Johan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah.
-RJ-





