Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pantai Kuala Sungai Badengan Berpotensi Jadi Hab Pelancongan Baharu Mukah

By 21 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun / Jamali Ruji (Mukah)

MUKAH, 21 April (MalaysiaAktif) – Pantai Kuala Sungai Badengan di Balingian berpotensi besar dibangunkan sebagai produk pelancongan komersial dan rekreasi utama bagi merancakkan ekonomi setempat di Bahagian Mukah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mateding Kecil Jamali Ruji berkata landskap semula jadi pantai yang luas menjadikannya destinasi ideal untuk pelbagai aktiviti riadah.

Beliau menjelaskan kawasan tersebut sangat sesuai bagi peminat aktiviti memancing pantai seperti surfcasting, bottom fishing dan casting kerana kedudukan geografinya yang strategik.

“Pantai ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan memandangkan banyak aktiviti menarik boleh dilaksanakan di sini termasuk penganjuran sukan lasak,” katanya kepada Malaysia Aktif semalam.

Kemeriahan Majlis Kaul Orang Kampung turut dirasai penduduk setempat serta masyarakat dari kawasan sekitar Pantai Kuala Sungai Badengan.

Jamali juga mencadangkan kawasan itu dijadikan tapak perkhemahan serta lokasi aktiviti pemotoran seperti laluan kenderaan pelbagai permukaan (ATV) dan permainan kereta kawalan jauh.

Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip berkata kawasan persisiran pantai di daerah itu sememangnya menjadi tumpuan pengunjung khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Beliau menjelaskan keunikan garis pantai yang panjang serta pemandangan menarik menjadikannya aset penting bagi pembangunan sektor pelancongan luar bandar.

“Pelbagai aktiviti sukan pantai seperti bola sepak dan bola tampar boleh dianjurkan selain aktiviti santai seperti barbeku bersama keluarga untuk menarik kehadiran pengunjung luar,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda