
Laporan/foto: Salehuddin Klewan (Hulu Langat)
SEMENYIH, 30 April (MalaysiaAktif) – Cadangan kerajaan untuk menghadkan usia pendaftaran akaun media sosial kepada individu berumur 16 tahun ke atas menerima pelbagai reaksi dengan kebanyakannya melihat langkah itu sebagai usaha proaktif melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pengaruh negatif dunia digital.
Usaha itu dilihat mampu menangani isu ketagihan gajet, keselamatan siber serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, selain membantu membentuk penggunaan media sosial yang lebih matang dan bertanggungjawab.
Tinjauan Malaysia Aktif mendapati golongan pendidik dan ibu bapa antara yang menyambut baik cadangan berkenaan kerana disifatkan selari dengan ikhtiar meningkatkan kesejahteraan mental serta perkembangan sosial remaja secara lebih seimbang tanpa kebergantungan melampau terhadap platform digital.
Pegawai Penyelidik Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Fadle Mohamad Abu Sadin menyokong cadangan berkenaan dengan menyifatkan isu kawalan penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak sebagai cabaran utama ketika ini.
“Anak-anak mudah terdedah dan terpengaruh dengan trend semasa yang kurang baik dari segi tingkah laku, pemakaian, pertuturan, penghormatan serta hubungan sesama mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif.
Beliau yang juga merupakan pakar motivasi, berkata penetapan had umur bersama kawalan yang berkesan mampu membantu membentuk sahsiah remaja yang lebih positif dan terkawal.
Sementara itu, kalangan ibu bapa turut menyokong langkah itu sebagai satu bentuk perlindungan awal terhadap risiko seperti buli siber, pendedahan kepada kandungan tidak bermoral serta pengaruh negatif yang boleh menjejaskan perkembangan emosi dan sahsiah kanak-kanak.
Seorang peniaga, Siti Mariam Ali, 43, menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan tersebut dan berpendapat langkah itu wajar dilaksanakan demi melindungi generasi muda.
“Kanak-kanak yang terlalu banyak menghabiskan masa di media sosial cenderung terpengaruh dengan perkara negatif berbanding perkara positif,” katanya.
Bagi penjawat awam Kamarul Akma Mokhtar, 50, cadanngan tersebut disifatkan sebagai langkah tepat dalam membantu ibu bapa mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak.
“Ibu bapa hari ini berdepan kesukaran untuk mengawal anak-anak apabila mereka sudah ketagihan kepada media sosial melalui penggunaan gajet,” katanya.
-RI





