Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Isu Miskin Tegar di Selangor Telah Dinoktahkan, Pemantauan Mesti Diteruskan – PM

By 30 April 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria (Selangor)/Facebook Amirudin Shari 

SHAH ALAM, 30 April (MalaysiaAktif) — Isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Anwar di hantaran Facebooknya semalam bagaimanapun menegaskan pemantauan mesti diteruskan untuk memastikan tiada keluarga yang tercicir daripada menerima manfaat.

“Lebih penting, setiap keluarga mesti diberi peluang untuk bangkit, diperkasakan melalui latihan, sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri. Kekuatan ekonomi Selangor harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat martabat hidup rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Anwar mahu kejayaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di Petaling diperluas, khususnya bagi membantu golongan miskin bandar.

Katanya, inisiatif seperti program jahitan di Kampung Melayu Subang, madu kelulut di Bayu Damansara dan pembuatan perabot di Bukit Lanchong membuktikan bahawa dengan sokongan tepat, rakyat mampu mencipta perubahan bermakna menerusi penjanaan pendapatan antara RM24,000 hingga RM100,000.

Anwar berkata Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling di Shah Alam yang dipengerusikan beliau semalam antara lain turut meneliti kemajuan pelaksanaan projek rakyat yang mendesak serta merangka penyelesaian kepada isu berbangkit seperti penyenggaraan jalan raya dan kemajuan projek mitigasi banjir.

Menurutnya lagi, mesyuarat itu turut menyentuh soal pengurusan bandar dan sosial termasuk perkara berkaitan rumah ibadat, pengurusan sisa serta isu penternakan babi.

“Semua ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara. Saya juga tekankan keperluan tindakan segera bagi mengurangkan kesulitan rakyat sementara menunggu projek tebatan banjir jangka panjang disiapkan.

“Insya-Allah, dengan kesungguhan semua pihak, kita akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah tertangguh, memperkukuh kekuatan sedia ada serta memastikan nikmat pembangunan ini benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat itu menjadi ruang penting memastikan penyelarasan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, berkesan dan menyeluruh.

“Komitmen kerajaan Persekutuan untuk memperhebat inisiatif kerajaan negeri dalam hal ehwal pengurusan banjir, pengurusan infrastruktur serta pemodenan pertanian amat penting dalam memastikan perencanaan berada pada tahap terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Sesi libat urus lebih sejam di Dewan Jubli Perak itu turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan exco kerajaan negeri.

-FN

Tinggalkan komen anda