
Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad/Noor Faeizah Ahamad (Kedah)
ALOR SETAR, 30 April (MalaysiaAktif) – Karnival Amal Hari Penyayang 2026 yang bermula hari ini di Taman Jubli Emas memberikan tumpuan khusus kepada pemerkasaan laluan pendidikan dan peluang kerjaya dalam bidang TVET kepada generasi muda.
Pameran daripada pelbagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu bertujuan mendedahkan lepasan sekolah kepada kepelbagaian kursus kemahiran yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja masa kini.
Seorang pengunjung, Mohd Yusri Ahmad, 19, berkata dia hadir ke karnival berkenaan bagi meninjau laluan kerjaya dalam bidang TVET bagi merancang masa depan yang lebih terjamin.
“Pameran ini sangat membantu kerana saya dapat maklumat terus daripada institusi terlibat mengenai kursus yang bersesuaian dengan minat dan pasaran kerja sekarang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Selain pameran pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah turut menyediakan perkhidmatan ujian psikometrik bagi membantu pelajar seawal usia enam tahun sehingga lepasan SPM menentukan kecenderungan kerjaya mereka.
Karnival sempena sambutan 30 tahun Yayasan Sultanah Bahiyah ini turut dimeriahkan dengan gerai jualan makanan termasuk jualan durian yang menjadi tarikan pengunjung, selain pameran agensi kerajaan yang berlangsung sehingga 3 Mei depan.
-RI





