
Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wenanddo (Mukah)
MUKAH, 28 April (MalaysiaAktif) — Sebanyak RM346,000 diperuntukkan kepada 53 penerima menerusi Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian pada pagi tadi.
Peruntukan kumpulan kedua bagi tahun ini itu disalurkan kepada pelbagai persatuan dan pertubuhan komuniti bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berharap bantuan tersebut dapat meningkatkan keupayaan organisasi tempatan dalam merancang program yang memberi impak kepada masyarakat.
“Geran ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan malah menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh perpaduan komuniti di kawasan DUN Tellian,” katanya di Lepau Pededun, tapak Pesta Kaul Mukah, di sini hari ini.
Menurut Royston, penyaluran geran itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan komuniti luar bandar mendapat sokongan sewajarnya bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan komited memastikan pembangunan luar bandar terus diperkukuh secara seimbang melalui pengagihan peruntukan yang telus.
“Penerima digalakkan melaksanakan program berimpak tinggi termasuk memperluas inisiatif kebajikan serta meningkatkan penglibatan sosial masyarakat setempat,” katanya.
Royston turut menegaskan bahawa setiap program yang dilaksanakan perlu selari dengan aspirasi kerajaan dalam mensejahterakan rakyat di kawasan luar bandar.
Majlis tersebut turut menjadi platform merapatkan hubungan antara kepimpinan negeri dan pemimpin masyarakat bagi membincangkan keperluan komuniti masing-masing.
-RJ-





