
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)
LUNDU, 28 April (MalaysiaAktif) —Kawasan Port Lama di tepi Sungai Batang Kayan, di sini terus menjadi destinasi tumpuan pengunjung meskipun tidak lagi berfungsi sebagai pangkalan feri selepas pembinaan jambatan.
Kawasan tersebut kini menjadi pusat ekonomi melalui deretan gerai kecil yang menawarkan pelbagai kudapan tradisional seperti keropok udang serta kuih-muih tempatan.
Peniaga, Salina Sahuddin, 59, berkata lokasi berkenaan terus menjadi sebagai lubuk sumber rezeki utama buat penduduk setempat walaupun berdepan cabaran pembangunan projek Pan Borneo.
“Walaupun ada cabaran, saya harap tempat ini terus hidup dan lebih selesa untuk peniaga serta pengunjung,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Menurut Salina, kawasan tersebut paling sibuk pada hujung minggu dan musim perayaan apabila ramai pelancong singgah mendapatkan produk tradisional.
Seorang pengunjung, Indah Putra, 30, pula berkata Port Lama kini turut menjadi tarikan generasi muda sebagai lokasi santai dan merakam gambar.
“Tempat ini sederhana tetapi mempunyai identiti tersendiri dan menjadi persinggahan wajib bagi mereka yang berada di Lundu,” katanya.
Gabungan suasana kampung dan warisan makanan tradisional menjadikan kawasan itu terus relevan sebagai simbol identiti komuniti setempat.
Pembangunan aktiviti ekonomi di Port Lama turut membantu meningkatkan daya tarikan Lundu sebagai antara destinasi pelancongan di Sarawak.
-RJ-





