
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor
SHAH ALAM, 9 April (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mempergiat pemeriksaan menerusi Op Tiris 4.0 di seluruh negeri susulan pewartaan Peraturan Kawalan Bekalan RON95 2026 berkuat kuasa 1 April lalu.
Pengarahnya, Muhamad Hanif Asa’ari berkata operasi itu melibatkan semua pejabatnya termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu bagi memastikan pematuhan menyeluruh terhadap peraturan baharu.

Muhammad Hanif dan pegawai KPDN Selangor sedang bertanyakan sesuatu kepada kakitangan sebuah stesen minyak yang diperiksa.
Beliau berkata pemeriksaan turut diperkasakan menerusi Kempen KITA GEMPUR yang memfokuskan pemantauan di stesen minyak serta syarikat pemborong bahan api di seluruh negeri Selangor.
“Antara fokus utama termasuk pemeriksaan kenderaan pendaftaran asing, dokumen lesen barang kawalan, tangki simpanan bahan api serta status sah mesin pam pengisian termasuk ke atas penggunaan fleet card bagi memastikan tiada penyalahgunaan.
“Selain itu, pemantauan turut melibatkan kenderaan perdagangan dan aktiviti pengisian bahan api ke dalam tong atau bekas bagi memastikan pematuhan arahan Pengawal Bekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, KPDN Selangor kini memantau sebanyak 809 stesen minyak aktif serta 79 syarikat pemborong diesel bagi memastikan pematuhan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Anggota Unit Bermotosikal KPDN yang akan membuat rondaan pemeriksaan di stesen-stesen minyak.
“Pemantauan turut memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi dan tidak menjejaskan keperluan pengguna di seluruh negeri Selangor.
“Bagi meningkatkan kecekapan pemantauan, sistem imbasan kod Respon Pantas (QR) diperkenalkan untuk merekod maklumat pemeriksaan secara masa nyata oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal,” katanya.
-RI





