
Laporan/foto: Kartina Saruni (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 7 April (MalaysiaAktif) – Kementerian Komunikasi telah memilih Kampung Istana, di sini sebagai Kampung Angkat MADANI (KAM) kementerian itu bagi tahun ini dalam usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi luar bandar.
Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Datuk Aminurrahim Mohamed berkata program tersebut turut bertujuan merapatkan hubungan antara kementerian dan komuniti selain mengurangkan jurang pembangunan infrastruktur.

Lawatan tapak di Balai Raya Kampung Istana untuk perancangan naik taraf fasiliti.
“Program KAM turut membantu mengurangkan jurang pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya ketika menghadiri mesyuarat perbincangan pelaksanaan Kampung Angkat MADANI di Pejabat Daerah Batu Pahat, di sini hari ini.
Beliau berharap pelaksanaan projek di Kampung Istana akan memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat melalui beberapa inisiatif yang dirancang seperti pembinaan dewan terbuka, naik taraf balai raya, pembangunan taman rekreasi serta penambahbaikan tadika KEMAS.
Kampung berkenaan merupakan antara lokasi yang dipilih oleh Kementerian Kewangan dan pelaksanaannya melibatkan kerjasama pelbagai kementerian serta agensi berkaitan bagi memperkasa komuniti setempat, khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial.
Sementara itu, Ketua Kampung Istana, Abd Jalil Ali melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas pemilihan kampung tersebut.
“Pemilihan Kampung Istana sebagai KAM ini amat bermakna dan kami berharap ia dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat serta membantu mempromosikan pakej pendakian Bukit Soga sebagai tarikan pelancongan,” katanya.
-RI





