
Laporan/foto: Randy Achang William (Limbang)/SMK Limbang
LIMBANG, 30 April (MalaysiaAktif) – Karnival Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang menjadi platform penting memperkasa bakat serta membentuk kepimpinan pelajar.
Program yang bermula 27 April lalu itu melibatkan pelbagai aktiviti merangkumi bidang bahasa, Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), unit beruniform serta kelab dan persatuan.
Pengetua SMK Limbang, Norfarhana Abdullah berkata karnival itu merupakan medium penting bagi membentuk jati diri murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Beliau menjelaskan bahawa sepanjang penganjuran, murid didedahkan dengan nilai kepimpinan, disiplin serta semangat kerja berpasukan.
“Penglibatan aktif dalam aktiviti sukan dan persatuan secara tidak langsung membantu meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan murid,” katanya sewaktu berucap.
Tambah beliau, penganjuran aktiviti yang menarik dan menyeronokkan itu turut memberi impak positif terhadap motivasi murid untuk hadir ke sekolah.
Langkah ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan peratusan kehadiran murid melalui pendekatan pembelajaran di luar bilik darjah.
-RJ-





