
Laporan/foto: Nur Rezwane Md. Zabidi/Facebook Perkeso Pulau Pinang
BUTTERWORTH, 19 April (MalaysiaAktif) – Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan di Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Komuniti dan Kebudayaan Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA@Butterworth Arena).
Berlangsung selama dua hari bermula kelmarin, program anjuran MYFutureJobs itu mencatat kehadiran memberangsangkan dengan penyertaan pencari kerja dari seluruh Pulau Pinang serta negeri-negeri jiran.
Karnival itu menghimpunkan majikan daripada pelbagai sektor termasuk perkilangan, perkhidmatan, teknologi dan hospitaliti.
Sepanjang penganjuran, pengunjung bukan sahaja berpeluang menghadiri sesi temu duga secara terus malah turut mendapat akses kepada khidmat nasihat kerjaya serta penambahbaikan resume melalui bimbingan pakar yang disediakan.
Seorang graduan bidang kejuruteraan universiti tempatan Siti Nuraisyah Nayan, 24, menyifatkan penganjuran karnival ini sebagai platform yang amat membantu dalam memahami kehendak pemain industri masa kini.
“Saya rasa program seperti ini sangat membantu terutama bagi graduan baharu macam saya kerana di sini saya boleh terus berjumpa dan berinteraksi dengan pihak majikan dan memahami keperluan mereka. Saya juga sudah menghadiri beberapa sesi temu duga hari ini,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Beliau turut berharap agar inisiatif seumpama ini dapat dilaksanakan secara berterusan bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan.
-AA-





