Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program Generasi Cilik Perpaduan Semai Amalan Pemakanan Sihat Kanak-Kanak Mukah

By 19 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)

MUKAH, 19 April (MalaysiaAktif) – Program Generasi Cilik Perpaduan: Menu Sihat Perpaduan 2026 Peringkat Tabika Perpaduan Bahagian Mukah berjaya memupuk amalan pemakanan sihat sejak usia awal dalam kalangan kanak-kanak.

Program yang diadakan serentak di seluruh negara semalam itu melibatkan lima Tabika Perpaduan di Bahagian Mukah dengan penyertaan seramai 80 kanak-kanak.

Beberapa kanak-kanak Tabika Perpaduan Judan begitu teruja menyiapkan salah satu Menu Sihat berupa Salad Buah-buahan.

Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah Siti Nurfatimah Hussen berkata inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran murid serta ibu bapa mengenai kepentingan pengambilan makanan seimbang.

Beliau menjelaskan program berkenaan menggalakkan penglibatan ibu bapa secara langsung bagi membentuk tabiat pemakanan yang baik bermula dari rumah.

“Amalan pemakanan sihat perlu diterapkan sejak kecil kerana ia memainkan peranan penting dalam perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak,” katanya kepada MalaysiaAktif hari ini.

Siti Nurfatimah memberitahu pendekatan interaktif dan menyeronokkan digunakan bagi memastikan mesej pemakanan sihat mudah difahami oleh golongan cilik tersebut.

Antara pengisian utama program termasuk ceramah berkaitan menu sihat tabika, kuiz interaktif serta aktiviti penyediaan bento sihat yang melibatkan kerjasama ibu bapa dan murid.

Beliau menegaskan sokongan berterusan daripada keluarga amat penting bagi memastikan amalan sihat yang dipelajari di tabika dapat dipraktikkan secara konsisten.

Siti Nurfatimah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan program tersebut di peringkat bahagian.

Penganjuran inisiatif seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membentuk gaya hidup sihat sekali gus mengukuhkan hubungan antara pihak tabika dan komuniti.

-RJ-

Tinggalkan komen anda