
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 19 April (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki tempatan ditemukan meninggal dunia dipercayai rebah ketika berjoging di kawasan taman permainan kanak-kanak Dataran Pehin Setia Raja, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata pihaknya menerima maklumat mengenai mangsa berusia 26 tahun itu daripada orang awam kira-kira pukul 8 pagi.
“Pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan atau kecederaan mencurigakan ditemui dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata saksi di lokasi memaklumkan mangsa sebelum itu dilihat melakukan aktiviti riadah bersendirian sebelum tiba-tiba rebah.
Terdahulu, pegawai perubatan dari Hospital Mukah mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat.
Individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Mejar Abdul Rahman Merrard di talian 013-8029577 atau hadir ke balai polis berhampiran.
-RJ-





