
Laporan/foto: Florence Sebastian/Remy Pisep (Saratok)
SARATOK, 14 April (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Spancer Gon, Engkabang Rias Jaya memanfaatkan peruntukan Program Sejati MADANI menerusi projek penternakan ikan keli yang kini menjadi sumber pendapatan baharu komuniti.
Projek tersebut menggunakan 60 tangki tangki polimer bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan setiap unit mampu menampung kira-kira 100 ekor ikan.

Proses penukaran air di dalam tangki ‘polytank’ ikan keli dilakukan bagi memastikan kebersihan terjaga serta mengelakkan ikan berbau hanyir di samping mengekalkan kualiti ternakan.
Ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin, Tuai Rumah, Spancer Gon, 44, berkata inisiatif itu membuka peluang kepada penduduk rumah panjang untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.
Katanya inisiatif tersebut turut memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan komuniti selain memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar.
Menjelaskan mengenai aspek penjagaan kualiti yang amat dititikberatkan, ia dijalankan melalui penukaran air tangki setiap tiga hari bagi memastikan ikan keli yang dihasilkan tidak berbau hanyir dan berkualiti tinggi.
“Kami pernah memasarkan sehingga 500 kilogram ikan keli segar kepada pelanggan di sekitar kawasan ini hasil daripada projek yang dijalankan,” katanya.
Penduduk, Andam Sumbang, 64, berkata mereka turut mempelbagaikan produk dengan menghasilkan ikan keli salai yang dijual pada harga RM55 sekilogram bagi menarik lebih ramai pembeli.
“Inisiatif ini membantu meningkatkan nilai produk hiliran dan kami tidak hanya bergantung kepada jualan ikan segar semata-mata,” katanya.
-RJ-





