Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kandungan Hina Sultan Selangor: NGO Buat Laporan Polis

By 27 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rose Ryqal (Kuala Langat) & Mohd Zaid Awang/Awani

KUALA LANGAT, 27 April (MalaysiaAktif) – Satu laporan polis dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat susulan penyebaran satu hantaran di media sosial yang disifatkan sebagai biadab dan menghina Sultan Selangor.

Hantaran berkenaan, yang dimuat naik oleh portal Huayan The Pureland Learning Center di Facebook, didakwa telah mengubah potret Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor kepada imej yang tidak wajar, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat.

Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Ayahanda Negeri Selangor (MAPS), Muhamad Ridzuan Amron berkata perbuatan berkenaan sama sekali tidak boleh dipandang ringan dan perlu dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.

“Kami menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang berani menghina institusi diraja Negeri Selangor,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar tidak berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap akaun media sosial serta portal yang menyiarkan kandungan berkenaan.

“Perbuatan ini jelas melampaui batas dan mencabar sensitiviti rakyat serta kedaulatan institusi diraja. Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang,” katanya lagi.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Selangor, Mohd Najwan Halimi menerusi hantaran di Facebooknya mengecam keras tindakan biadab tersebut yang menurutnya merupakan satu bentuk provokasi untuk mencetuskan ketegangan kaum serta agama.

“Sebagai anak jati negeri Selangor yang taat dan kasih kepada Sultan Selangor, saya sendiri merasa amat terhina tatkala melihat suntingan imej yang ditularkan ini. Tindakan ini jelas melampaui batas dan boleh menggugat keharmonian negeri serta negara,” katanya semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik turut menegaskan bahawa hantaran berkenaan bukan sahaja satu penghinaan terbuka terhadap institusi diraja, malah merupakan satu bentuk pelecehan terhadap Kerajaan Negeri Selangor.

-AA-

Tinggalkan komen anda