Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

MIID Perkukuh Komuniti Pereka Dalaman Selatan, Anjur Sesi Jaringan Industri

By 13 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 11 April (MalaysiaAktif) – Usaha mendekati ahli industri reka bentuk dalaman terus diperkukuh bagi memastikan golongan itu menerima sokongan berterusan di samping memperluas kerjasama dengan arkitek serta disiplin profesional lain.

Kerjasama antara MIID dan Stonehenge Surfaces mewujudkan platform perkongsian idea dan inspirasi kepada generasi muda yang baru menceburi industri reka bentuk dalaman

Presiden Malaysian Institute of Interior Designers (MIID) IDr Norshafina Ibrahim, berkata MIID merupakan pertubuhan pereka bentuk dalaman di peringkat kebangsaan yang berperanan menjaga kepentingan serta aspek profesional ahli di Malaysia.

Menurutnya, penubuhan MIID bertujuan membangunkan pengetahuan profesional, menyokong aktiviti jaringan industri serta memperkukuh kedudukan pereka bentuk dalaman di negara ini.

“MIID sentiasa bekerjasama dengan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) serta menyelaras usaha mendekati ahli di bahagian selatan bagi mengaktifkan komuniti pereka bentuk dalaman agar sentiasa mempunyai sistem sokongan dan kehadiran MIID dapat dirasai,” katanya ketika ditemui di Grumpy Goat & Friends Forest Feast Cafe, di sini semalam.

Seramai 40 peserta terdiri daripada arkitek, kontraktor dan pereka bentuk dalaman menghadiri sesi makan malam anjuran MIID itu.

Inovasi baharu yang ditawarkan mampu menghasilkan reka bentuk yang lebih segar dan berkualiti tinggi

Sementara itu, Eksekutif Pembangunan Perniagaan Stonehenge Surfaces Syarifah Syarina, berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan MIID sebagai platform perkongsian idea dan inspirasi khususnya kepada generasi muda yang baharu menceburi industri reka bentuk dalaman.

Katanya, kolaborasi itu turut meningkatkan kesedaran terhadap jenama, kelebihan serta inovasi baharu yang ditawarkan dalam menghasilkan reka bentuk lebih segar dan berkualiti tinggi.

Dalam pada itu, pereka hiasan dalaman dari Johor Bahru, Alias Abdul Wahab, berkata program seumpama itu wajar diperluaskan ke luar Kuala Lumpur.

“Penganjuran di sini memberi banyak manfaat termasuk akses kepada maklumat terkini industri serta peluang untuk mengembangkan lagi bidang reka bentuk dalaman,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda