Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Op Tiris 4.0: KPDN Selangor Pantau Rapi Stesen Minyak

By 1 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor

SHAH ALAM, 1 April (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor kini menggerakkan pemeriksaan rapi di seluruh stesen minyak di negeri itu bagi memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan kawalan bekalan petrol menerusi Op Tiris 4.0.

Langkah proaktif itu diambil susulan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan Larangan Penjualan dan Pembelian RON95 2026 yang mula berkuat kuasa hari ini.

Pengarahnya, Muhamad Hanif Asa’ari berkata pemeriksaan tertumpu kepada pemantauan kenderaan pendaftaran asing bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku sepanjang proses pengisian bahan api.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ini dan tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Bagi memperkasakan pengawasan, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan meningkatkan kekerapan rondaan di stesen yang mempunyai rekod transaksi pembelian yang sangat rancak pada setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebanyak 809 stesen minyak dan 79 syarikat pemborong diesel kini menjadi tumpuan utama bagi menjamin keberadaan bekalan bahan api mencukupi untuk kegunaan orang awam.

Muhamad Hanif turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik dan menyarankan pengguna merujuk kepada kaunter stesen sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan atau pertanyaan.

Tambahnya, kerjasama strategik bersama Maritim Negeri Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan turut diperkukuh bagi menyelia aktiviti perdagangan bahan api di kawasan darat mahupun di perairan.

“Rakyat diminta menyalurkan maklumat salah laku melalui saluran WhatsApp 019-8488000 atau portal e-Aduan bagi membantu usaha pihak berkuasa mengekang sebarang aktiviti ketirisan subsidi,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda