
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 12 April (MalaysiaAktif) – Jabatan Muzium Negeri Sabah menganjurkan pameran “I Love Sushi” bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sejarah dan keunikan budaya kulinari masyarakat Jepun, Jumaat lepas.
Pameran dengan kerjasama The Japan Foundation itu mempamerkan susur galur sejarah gastronomi global serta keunikan budaya negara tersebut kepada pengunjung.

Replika pelbagai jenis sushi seperti Nigiri-zushi dipamerkan bagi mendidik pengunjung mengenai sejarah dan evolusi kulinari Jepun pada pameran “I Love Sushi” di Muzium Tamadun Islam Sabah kelmarin.
Pensyarah Institut Seni Sabah, Rudy Chin berkata pameran berkenaan merupakan inisiatif terbaik dalam memperluas perspektif masyarakat terhadap budaya luar.
“Program seumpama ini wajar dianjurkan dengan lebih kerap bagi membuka minda generasi muda untuk memahami kepelbagaian perkembangan negara lain,” katanya ketika ditemui di Muzium Tamadun Islam Sabah, di sini.
Chin menjelaskan pameran tersebut turut memberi peluang kepada belia tempatan mengenali budaya serta memahami keunikan makanan ikonik tersebut secara lebih mendalam.
Pelajar Kolej Vokasional Likas, Garry Nathan Junior, 17, berkata pameran gastronomi antarabangsa perlu diperbanyakkan dengan melibatkan institusi pendidikan vokasional.
“Saya berharap pameran sebegini dapat membantu pelajar yang mengambil subjek kulinari menambah pengetahuan mengenai budaya luar,” katanya.

Garry (tiga dari kiri) bersama rakan-rakannya mengambil peluang menimba pengetahuan mengenai keunikan budaya makanan Jepun pada pameran “I Love Sushi” anjuran Jabatan Muzium Negeri Sabah.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin merasmikan pameran tersebut yang turut dihadiri Duta Besar Jepun, Shikata Noriyuki.
Pameran tersebut berlangsung di Galeri Utama Muzium Tamadun Islam Sabah sehingga 7 Jun ini.
-RJ-





