
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)
MUKAH, 12 April (MalaysiaAktif) – Pasar Serbaguna Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) terus menjadi tumpuan pengunjung dari luar daerah untuk mendapatkan pelbagai jenis kuih muih kering sebagai buah tangan.
Pasar tersebut menempatkan ramai penjaja tempatan yang menawarkan aneka pilihan kuih kering merangkumi resipi tradisional masyarakat Melanau dan moden.

Lyana sedang menyusun atur produk jualannya sementara menunggu pelanggan yang datang ke kedai miliknya.
Peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Lyana berkata permintaan terhadap kuih muih kering sentiasa meningkat terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.
“Mereka bukan sahaja membeli untuk kegunaan sendiri, malah menjadikannya sebagai buah tangan untuk keluarga dan rakan-rakan di tempat asal,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Lyana memaklumkan harga yang ditawarkan adalah berpatutan sekali gus mendorong pembelian dalam kuantiti lebih banyak oleh pengunjung.

Ramzi turut tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa produk kuih kering yang di jual di Bangunan Pasar Serbaguna MDDM.
Pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Ramzi, 64, menyifatkan pasar tersebut menyediakan lokasi sehenti untuk mendapatkan produk asli tempatan dengan mudah.
“Di sinilah kita dapat melihat ramai pengunjung menghargai keunikan kuih tradisional ini,” katanya.
Ramzi menambah sokongan melalui pembelian produk tempatan secara tidak langsung membuka peluang lebih luas kepada peniaga untuk memperluaskan pasaran mereka.
Penjaja yang hanya ingin dikenali sebagai Angel, 44, memberitahu kebanyakan pelanggan gemar membeli dalam jumlah besar kerana produk tersebut tahan lama.
-RJ-





