Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Seminar Faraid Perkukuh Kesedaran Pengurusan Harta Pusaka

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zamri Mohamad (Miri)

MIRI, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Tabung Baitulmal Sarawak memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan harta pusaka mengikut syariah menerusi Seminar Asas Faraid dan Pengurusan Harta yang menghimpunkan 240 peserta di Kompleks Islam Sarawak, hari ini.

Program berkenaan memberi pendedahan mengenai asas faraid, hibah, wasiat serta prosedur pengurusan harta pusaka bagi membantu waris menguruskan harta peninggalan keluarga secara lebih teratur dan mengelakkan pertikaian selepas berlaku kematian.

Penyelaras program, Marini Juraibi berkata masih ramai masyarakat kurang memahami tanggungjawab waris dan proses pengurusan harta pusaka menyebabkan timbul pelbagai isu dalam keluarga.

Menurut beliau, seminar itu turut menjadi platform bagi peserta mendapatkan penjelasan berkaitan isu sebenar yang dihadapi dalam pengurusan harta pusaka selain berkongsi pandangan bersama panel dan peserta lain.

“Peserta bukan sahaja didedahkan dengan konsep asas faraid tetapi turut diberi penerangan mengenai langkah yang perlu diambil dalam menguruskan harta peninggalan si mati mengikut syariah,” katanya.

Beliau berkata peranan Tabung Baitulmal Sarawak penting dalam membantu masyarakat memastikan urusan pembahagian dan pengurusan harta pusaka dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan tersusun.

Pada sebelah petang, turut berlangsung Podcast Seminar Asas Faraid dan Pengurusan Harta yang dikendalikan moderator Bolhassan Iskandar Taibi yang mengupas pelbagai persoalan berkaitan faraid dan pengurusan harta pusaka selain memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu dibincangkan.

Sementara itu, peserta seminar, Mohamad Fazrie Basri, 40, berkata program berkenaan membuka mata masyarakat mengenai kepentingan perancangan harta menurut syariah.

Katanya, seminar itu membantu peserta memahami konsep faraid, hibah, wasiat dan pengurusan pusaka secara lebih jelas melalui penerangan serta contoh situasi sebenar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda