
Laporan/foto: Aishah Latip & Indah Putra (Lundu)/BBP Lundu
LUNDU, 20 Mei (MalaysiaAktif) – 70 kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di daerah ini menerima pendedahan asas keselamatan kebakaran sejak usia muda.
Kesemua mereka daripada Taska Permata KEMAS Kampung Sebat Baru, Tabika KEMAS Kampung Sebat Baru dan Tabika KEMAS Kampung Sebat Melayu memperoleh pendedahan itu menerusi Program Lawatan Sambil Belajar ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, hari ini.
Sepanjang lawatan, peserta diberi keselamatan kebakaran, demonstrasi penggunaan alat pemadam api oleh Pasukan Celik Suri serta latihan “Stop, Drop and Roll” menerusi Kelab Bomba Cilik (KBoC).
Bagi peserta Tabika KEMAS pula, penekanan diberikan kepada pemahaman asas mengenai bahaya bermain api dan tindakan awal ketika kecemasan termasuk teknik “Berhenti, Rebah dan Guling” sekiranya pakaian terbakar.
Kanak-kanak turut didedahkan dengan penggunaan talian kecemasan 999 melalui aktiviti lakon peranan bagi membantu mereka memahami cara mendapatkan bantuan ketika berlaku kecemasan.
Seorang ibu peserta, Nurhazwani Has, 32, berkata program tersebut memberi manfaat besar dalam membentuk kesedaran keselamatan dalam kalangan kanak-kanak sejak kecil.
“Program ini sangat bagus kerana memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang cara menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran sama ada di sekolah atau di rumah,” katanya kepada Malaysia Aktif.
-FN





