Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tuisyen Anak Malaysia Madani Catat 94 Peratus Pelajar Sambung IPT

By 20 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto:Hamidah Len (Sabah)

KOTA KINABALU, 20 Mei (MalaysiaAktif)– Inisiatif Tuisyen Anak Malaysia Madani Parlimen Sepanggar yang percuma untuk pelajar B40 mencatat 94 peratus pesertanya berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Penyelaras program, Dalvinder Singh berkata pada tahun pertama pelaksanaannya hanya 68 pelajar menyertai program ini dengan bantuan tenaga pengajar dari SMK Bandaraya dan SMK Kolombong.

“Bagaimanapun keputusan memberangsangkan dicapai pelajar menyebabkan program ini diperluaskan termasuk penambahan subjek Matematik dan pembukaan kelas tambahan.

“Bagi tahun ini sahaja lebih 220 pelajar mengikuti kelas tuisyen ini dan 98 peratus daripadanya terdiri daripada pelajar B40.

“Kami turut menggunakan khidmat guru pemeriksa Sijil Pelajaran Malaysia bagi membantu pelajar memahami teknik menjawab soalan peperiksaan dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani SPM 2025 Parlimen Sepanggar, pada Isnin.

Menurut Dalvinder, program yang bermula empat tahun lalu di Sepanggar dengan hanya subjek Sejarah dan Sains kini berkembang ke beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

“Program ini juga diperluaskan menerusi inisiatif Tuisyen Anak Malaysia Satelit membabitkan beberapa sekolah termasuk SMK Bandaraya, SMK Pekan Telipok dan SMK Tebobon.

“Kejayaan paling membanggakan apabila seorang pelajar yang gagal subjek Matematik dalam peperiksaan percubaan akhirnya memperoleh gred A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujar beliau.

Sementara itu, alumni SMK Kolombong, Lelishia Liau, 18, berkata program berkenaan banyak membantu meningkatkan kefahamannya dalam subjek Matematik, Sains dan Sejarah.

“Sebelum ini Matematik memang lemah, tetapi selepas mengikuti kelas tuisyen saya berjaya memperoleh A- dalam SPM dan memperoleh lima A keseluruhannya serta bercadang menyambung pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM),” jelasnya.

Bekas pelajar SMK Bandaraya, Hans Eizackry Azahari pula berkata, program itu membantu meningkatkan keyakinan pelajar menerusi interaksi dan perbincangan bersama peserta daripada sekolah lain.

“Pelajar yang sebelum ini kurang bercakap dan kurang faham subjek menjadi lebih yakin serta mudah memahami pelajaran melalui perbincangan bersama rakan lain,” tambahnya.

Pada majlis itu, 465 pelajar SPM 2025 yang memperoleh keputusan 6A hingga 12A diraikan merangkumi pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah, SM Sains Sabah, SMK Agama Kota Kinabalu, SMK Agama Tun Ahmadshah, SMK All Saints, SMK Bandaraya Kota Kinabalu, SMK Inanam, SMK Kolombong, SMK St Peter Telipok, SMK Tebobon dan Maktab Nasional.

-RJ-

Tinggalkan komen anda