
Laporan/foto: Fairuzan Abdul Majid/Mokhlis Abd Rahman
MUAR, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Medium audio siar atau podcast di platform media sosial seperti TikTok dilihat sebagai antara kaedah paling berkesan dalam mendekati golongan belia serta menyalurkan maklumat semasa secara lebih efektif.
Ahli Jawatankuasa Komuniti MADANI (KM) Parlimen Muar, Dr. Anwaruddin Sulaiman berkata pendekatan itu mampu menarik minat golongan muda untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih menerusi kandungan yang lebih santai serta mudah difahami.
Terdahulu KM Parlimen Muar mengadakan Program Sembang Santai: Penerangan Isu Semasa – Krisis Bekalan Global, di sini kelmarin.
“Ahli-ahli KM yang hadir turut membincangkan beberapa strategi terbaik bagi mendekati masyarakat dalam usaha menyampaikan maklumat yang tepat, khususnya berkaitan isu krisis,” katanya.
Program berkenaan melibatkan penyertaan enam Komuniti MADANI dalam Parlimen Muar iaitu Komuniti MADANI Maharani, Komuniti MADANI Jalan Junid, Komuniti MADANI Jalan Temenggong, Komuniti MADANI Seri Menanti, Komuniti MADANI Seri Menanti Sungai Balang serta Komuniti MADANI Parit Yusof Sungai Balang.
-AA-






