
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/IPD Sri Aman
SRI AMAN, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Empat lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan mencuri kabel elektrik bernilai tinggi pada 13 dan 14 Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Supt Dennis Bunyam berkata kesemua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Beliau berkata tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan masing-masing didenda RM8,000 dan 12 bulan penjara jika gagal bayar.
“Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka membayar denda berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata tiga daripada tertuduh juga gagal membayar denda RM2,000 dan RM5,000 bagi dua pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 447 dan 426 Kanun Keseksaan.
“Atas kegagalan melunaskan denda berkenaan, mahkamah mengarahkan tiga tertuduh dipenjara masing-masing 25 bulan bermula dari tarikh tangkap,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sebelum ini menahan empat lelaki berusia 27 hingga 41 tahun dari Kuching itu susulan kejadian kecurian di sebuah pencawang dan instalasi utiliti milik sebuah syarikat di daerah berkenaan.
Polis turut merampas antaranya beberapa gelung kabel elektrik yang telah dipotong, peralatan memotong dan memecah masuk seperti gergaji besi, sepana, pemutar skru, tukul serta tali penarik yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan jenayah tersebut.
-FN





