Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sejahtera MADANI Bantu Ringan Beban Golongan Miskin Pakan

By 26 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Boniface Watt Su/Ignatius Golen Sugai (Pakan)/Pejabat Daerah Pakan

PAKAN, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 20 Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin berdaftar dalam sistem eKasih di Daerah Pakan menerima bantuan menerusi Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan Tahun 2026 di Bilik Serbaguna Pejabat Daerah Pakan, semalam.

Menerusi inisiatif tersebut, setiap penerima mendapat baucar tunai bernilai RM500 bagi pembelian barangan keperluan asas sebagai usaha meringankan kos sara hidup isi rumah menjelang sambutan Hari Gawai Dayak.

Majlis penyerahan bantuan disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Sri Aman) Nor Izzah Marzuki bersama wakil Pegawai Daerah Pakan Keli Mareng.

Nor Izzah berkata, kerajaan komited menyalurkan bantuan kepada golongan berkelayakan bagi membantu mereka membina keupayaan agar mampu berdikari dalam jangka masa panjang.

“Hasrat utama kerajaan menyalurkan bantuan adalah untuk membina keupayaan penerima agar mampu berdikari.

“Kita berharap bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada KIR untuk terus berusaha meningkatkan pendapatan keluarga, selain meringankan beban menyambut perayaan Gawai,” katanya ketika ditemui di Pejabat Daerah Pakan, semalam.

Nor Izzah menegaskan agenda membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, agensi pelaksana dan rakyat bagi memastikan setiap bantuan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Sementara itu, penerima bantuan Nyandang Janti, 79, berkata bantuan tersebut amat bermakna dalam membantu keluarganya membuat persiapan menyambut Hari Gawai.

“Bantuan ini dapat mengurangkan beban keluarga kami selain membantu membeli barangan keperluan asas sempena perayaan Gawai Dayak,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Pelaksanaan inisiatif itu mencerminkan langkah kerajaan memperkukuh agenda kebajikan rakyat serta memastikan golongan memerlukan terus menerima perhatian sewajarnya selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-RJ-

Tinggalkan komen anda