
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau)/Eddie Alan Blanking (BKVS)
BAU, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 Peringkat Negeri Sarawak berlangsung meriah menerusi penganjuran Festival Belia@Hari Belia di Pusat REDEEMS, Singai di sini hari ini.
Kehadiran lebih 1,000 pengunjung yang terdiri daripada golongan belia, pelajar serta masyarakat setempat membuktikan sokongan padu terhadap agenda pembangunan generasi muda.
Festival bertemakan “Menggerak Belia MADANI” itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol semalam.
Mordi menegaskan golongan belia merupakan aset penting negara yang perlu terus diperkasa melalui pelbagai program pembangunan serta peningkatan kemahiran.
According to Mordi, kerajaan menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan generasi muda dalam mendepani cabaran selain menggalakkan mereka merebut peluang menyumbang kepada negara.
“Tema ‘Menggerak Belia MADANI’ amat sinonim dengan golongan belia masa kini untuk terus berganding bahu dalam membangun dan menyumbang kepada negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan memberi perhatian serius terhadap pembangunan belia melalui inisiatif program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).
Mordi menjelaskan usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), CENTEXS, i-CATS, politeknik, kolej komuniti serta Institut Kemahiran Belia Negara.
Pihak kementerian turut menyediakan geran dan dana keusahawanan khas bagi menyokong pemandirian ekonomi golongan belia di negeri ini.
“Kerajaan memberi tumpuan serius terhadap pembangunan belia melalui pelbagai inisiatif termasuk pembinaan dan penaiktarafan prasarana belia dan sukan di Sarawak,” katanya.
Turut berlangsung ialah Jerayawara UP-TVET Zon Sarawak 2026 anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Sarawak bagi memberi pendedahan mengenai peluang pendidikan serta kerjaya melalui sistem permohonan bersepadu UP-TVET.
Sepanjang festival yang berlangsung dari 22 hingga 23 Mei itu, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk Program Keusahawanan dan Kerjaya B-Best, pertandingan PUBG Mobile serta acara karaoke.
Suasana program turut diceriakan dengan persembahan artis tempatan Claudia Geres selain penganjuran pelbagai permainan fizikal yang mendapat sambutan hebat daripada para peserta.
Penganjuran festival tersebut bukan sahaja memperkukuh jaringan dalam kalangan belia, malah membantu melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing serta aktif menyumbang kepada pembangunan komuniti.
-RJ-





