
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau)/Eddie Alan Blanking (BKVS)
BAU, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Bau Gawai Parade 2026 berlangsung meriah apabila lebih 3,000 peserta daripada pelbagai kaum menyertai perarakan sejauh 2.8 kilometer di sekitar pekan Bau hari ini.
Acara sempena sambutan Hari Gawai Dayak itu disertai sebanyak 91 kontinjen melibatkan komuniti kampung, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan kebudayaan.
Program tahunan ini berjaya menampilkan keunikan warisan pelbagai etnik di daerah Bau dalam suasana penuh harmoni dan perpaduan.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep di sini hari ini.
Henry berkata program berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan tradisi malah berperanan mengeratkan hubungan komuniti serta memupuk semangat kebersamaan.
“Program ini menjadi lambang identiti dan kebanggaan masyarakat di Bau selain memberi ruang kepada setiap komuniti mempersembahkan warisan budaya masing-masing,” katanya.
Beliau menjelaskan kejayaan penganjuran sulung pada tahun 2024 mendorong kepada sambutan yang lebih besar serta tersusun pada tahun ini.
Perarakan kali ini turut diserikan dengan penyertaan dua buah kenderaan berhias (float) yang mengetengahkan kreativiti serta identiti budaya masyarakat pelbagai kaum.
Pelbagai kumpulan etnik seperti Jagoi, Singai, Bratak, Serembu, Krokong dan Tringgus memukau pengunjung menerusi busana tradisional, tarian kebudayaan serta muzik etnik.
Kemuncak acara menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang kategori Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jabatan Kerajaan.
Penilaian pemenang adalah berdasarkan kreativiti, keunikan busana serta elemen kebudayaan yang dipersembahkan sepanjang perarakan berlangsung.
Inisiatif ini turut menjadi platform mempromosikan daerah Bau sebagai destinasi pelancongan budaya utama di Sarawak selain memperkukuh keharmonian masyarakat setempat.
-RJ-





