
Laporan/foto: Nur Rezwane/Facebook Reezal Merican Naina Merican
PERMATANG BERTAM, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Pendekatan turun padang dan santuni rakyat wajar diteruskan bagi memastikan masyarakat sentiasa merasai kehadiran agensi kerajaan serta rakan strategik yang komited membantu memenuhi keperluan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Program Santuni Bersama Komuniti Kampung Permatang Bertam yang berlangsung di perkarangan Masjid Al-Jamiul Badawi, kelmarin mislanya memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan masyarakat setempat.
“Hubungan ini diperkukuh menerusi penyampaian pelbagai perkhidmatan, khidmat nasihat serta bantuan secara terus kepada penduduk.
“Usaha berterusan melalui program seumpama ini diharap dapat membawa manfaat, kesejahteraan dan kemudahan kepada seluruh masyarakat setempat,” katanya ketika hadir merasmikan program itu, di sini kelmarin.
Program dinjurkan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Tabung Haji serta Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik dihimpunkan di situ sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan rakyat memperoleh akses lebih mudah kepada maklumat, perkhidmatan serta peluang yang dapat membantu memperkasa taraf hidup masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.
-RI





