Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pengerusi KRT Penakub Ulu Johan Gubahan Tembikai

By 18 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Yeo Ming Hua (Mukah)

MUKAH, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Pengerusi Kawasan Rukum Tetangga (KRT) Penakub Ulu muncul johan Pertandingan Gubahan Buah Tembikai pada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Sarawak di Miri, baru-baru ini.

Kemenangan tersebut dicapai Jefri Musa, 56, menerusi keberanian beliau mempertaruhkan kreativiti dan idea baharu dalam seni gubahan buah.

Menerusi karya bertajuk “Merah Perpaduan”, Jefri berjaya mengatasi saingan 14 peserta lain sekali gus membawa pulang tunai RM300, meskipun ini merupakan penampilan pertamanya dalam pertandingan tersebut.

Menurut Jefri, penyertaannya didorong minat mendalam terhadap seni gubahan dan kreativiti menghasilkan dekorasi berasaskan buah-buahan.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan gubahan buah tembikai dan saya bersyukur kerana usaha serta idea kreatif yang diketengahkan berjaya mendapat perhatian juri.

“Saya hanya mencuba berdasarkan minat dan mahu menimba pengalaman baharu dalam aktiviti yang jarang saya sertai sebelum ini,” katanya kepada Malaysia Aktif pada hari ini.

Beliau berkata, penyertaan peserta wanita yang sinonim dengan bidang seni hiasan tidak mematahkan semangatnya untuk bersaing secara sihat.

Sebaliknya, beliau menganggap pertandingan itu sebagai peluang mencabar diri dan membuktikan kreativiti tidak terbatas kepada jantina atau latar belakang peserta.

Tambah beliau, pertandingan tersebut turut membuka ruang untuk mengenali peserta dari pelbagai kawasan di seluruh Sarawak sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam komuniti.

-RJ-

Tinggalkan komen anda