Skip to main content
Berita TempatanSarawak

SABERKAS UNITEH Perkasa Semangat Belia Melalui Gotong-Royong Komuniti

By 18 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Brezerovean (Mukah)

MUKAH, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan belia terus diperkukuhkan menerusi program gotong-royong membersihkan Dewan Serbaguna Kampung Teh yang dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Unit Kampung Teh (UNITEH), di sini semalam.

Program yang bermula seawal pagi itu melibatkan kira-kira 30 belia Kampung Teh yang bergotong-royong membersihkan dan membaik pulih kemudahan dewan susulan kerosakan akibat banjir yang berlaku sebelum ini.

Pengerusi SABERKAS UNITEH, Brezerovean Boniface berkata, aktiviti tersebut melibatkan kerja menyapu lantai, mengecat dinding, membersihkan longkang, memotong rumput, mengemas kawasan sekitar serta menyusun semula peralatan di dalam dewan.

“Aktiviti gotong-royong pada pagi ini tertumpu di kawasan Dewan Serbaguna Kampung Teh berikutan kejadian banjir yang berlaku sebelum ini telah menyebabkan banyak peralatan dewan termasuk dinding dan struktur dewan mengalami kerosakan dan perlu dicat semula serta dilakukan penggantian peralatan,” katanya.

Menurut beliau, program itu bukan sahaja bertujuan memastikan kebersihan dan keceriaan dewan sentiasa terpelihara, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara belia dan penduduk kampung.

“Program seperti ini mampu melahirkan belia yang lebih prihatin terhadap kemudahan awam dan kepentingan menjaga kebersihan.

“Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan perpaduan serta kerjasama dalam kalangan penduduk,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Kampung Teh, Munir Din menyifatkan program gotong-royong sebagai medium terbaik untuk memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.

“Walaupun penat, kami berasa puas kerana dapat melihat perubahan persekitaran dewan menjadi lebih bersih dan teratur, malah aktiviti seperti ini juga mampu mengeratkan hubungan sesama belia dan penduduk kampung,” katanya.

Dalam perkembangan sama, SABERKAS UNITEH turut melaksanakan gotong-royong membaik pulih padang Sekolah Kebangsaan Kampung Teh pada 16 Mei lalu sebagai persiapan aktiviti sukan sekolah dan penghargaan sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda