
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Peranan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dalam membentuk akhlak serta sahsiah generasi muda terus diiktiraf sebagai antara tunjang penting pembangunan masyarakat berteraskan nilai Islam dan aspirasi Malaysia MADANI.
Pegawai Hal Ehwal Islam, Ellysha Razali berkata guru KAFA bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu agama, malah menjadi murabbi yang membimbing anak-anak memahami ajaran Islam, memperbaiki bacaan al-Quran serta membentuk keperibadian mulia sejak usia muda.
“Guru KAFA bukan sekadar mengajar, tetapi mendidik jiwa dan akhlak generasi pewaris ummah. Setiap pengorbanan dan keikhlasan para guru dalam menyampaikan ilmu agama amat besar nilainya di sisi Allah SWT.
“Semoga segala usaha yang dicurahkan menjadi amal jariah berpanjangan serta diberkati oleh Allah SWT,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru KAFA Peringkat Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, di sini hari ini.
Majlis anjuran Jawatankuasa KAFA Simanggang itu menghimpunkan seramai 64 guru KAFA dari seluruh Bahagian Sri Aman dalam suasana penuh ukhuwah dan penghargaan.
Beliau turut mengingatkan agar para guru terus istiqamah dalam mendidik, memperkukuh ilmu dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.
-FN





