Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Guru Tonggak Pembentukan Generasi Berakhlak, Bersatu

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)

MUKAH, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Guru bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu di bilik darjah, malah menjadi tonggak penting dalam membentuk generasi berdisiplin, berakhlak serta memiliki semangat perpaduan yang tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, jasa dan pengorbanan warga pendidik amat besar dalam melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Guru memainkan peranan besar dalam membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai sahsiah, disiplin dan semangat perpaduan yang tinggi.

“Jasa guru amat besar kerana mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu di bilik darjah, malah membimbing pelajar menjadi individu berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Hari Guru, Hari Pekerja dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Pra Gawai 2026 di SMK Three Rivers, pagi ini.

Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga pekerja sekolah atas komitmen memastikan kelancaran operasi dan pengurusan institusi pendidikan demi keselesaan pelajar serta guru.

Program anjuran pihak sekolah itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan persembahan pelajar yang mengetengahkan keunikan budaya masyarakat Sarawak.

Suasana sambutan bertambah meriah apabila pelajar tampil mengenakan pakaian tradisional pelbagai etnik sekali gus menyerlahkan semangat perpaduan serta penghargaan terhadap warisan budaya tempatan.

-FN

Tinggalkan komen anda