Skip to main content
Rencana & Pendapat

Pengundi Perlu Matang Nilai Maklumat Hadapi Dinamika Politik Semasa

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dr Ngalih Tingi (Sarawak)

KUCHING, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Masyarakat diingatkan supaya menjadi pengundi matang dan bijak menilai maklumat dalam menghadapi dinamika politik semasa negara serta Sarawak yang semakin mencabar, khususnya melibatkan penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial.

Tumpuan politik negeri ketika ini turut terarah kepada spekulasi persempadanan semula susulan cadangan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kepada 99 kerusi yang masih belum diputuskan secara muktamad.

Dalam masa sama, perkembangan landskap politik Persekutuan yang dinamik dilihat memerlukan rakyat lebih berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda serta naratif digital yang boleh menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan wilayah.

Bekas anggota tentera yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan, Franky Sawai, 42, berkata rakyat perlu menilai sesuatu isu secara rasional tanpa dipengaruhi sentimen atau maklumat tidak sahih.

“Sebagai bekas anggota keselamatan, keutamaan saya ialah keharmonian. Walaupun isu penambahan kerusi DUN belum diputuskan lagi, spekulasi di media sosial sudah mula diputar belit.

“Pengundi matang tidak boleh terpedaya dengan propaganda atau akaun palsu yang cuba memecahbelahkan kaum. Kita mesti menilai calon berdasarkan rekod khidmat yang jelas, bukan sekadar khabar angin,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Sementara itu, pelajar doktor falsafah (PhD), Estefanny Sonia, 25, berpandangan tempoh menunggu keputusan rasmi berkaitan penambahan kerusi DUN memberi ruang kepada pihak tertentu memanipulasi maklumat untuk mempengaruhi golongan muda.

“Taktik pemesongan fakta pasti meningkat untuk memancing undi dalam tempoh menunggu ini. Kita tidak boleh mengundi atas dasar ikut trend tular di TikTok.

“Pengundi bijak wajib melakukan semakan fakta terhadap maklumat yang diterima dan menganalisis secara kritikal dasar pembangunan, hak MA63 serta peluang kerjaya secara realistik,” ujarnya.

Bagi penjawat awam, Moses Selutan, 39, kestabilan dasar dan tadbir urus yang baik perlu dijadikan antara pertimbangan utama oleh pengundi dalam membuat pilihan.

“Sektor ekonomi memerlukan hala tuju yang konsisten untuk menarik pelabur. Pengundi perlu bijak menilai keupayaan kepimpinan yang menawarkan tadbir urus bersih dan pelan tindakan pragmatik, bukannya memilih berdasarkan retorik politik serta manipulasi sentimen yang merugikan masa depan negara,” katanya.

Kesedaran untuk mendapatkan maklumat daripada sumber sahih serta membuat penilaian secara matang dilihat penting dalam memastikan kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan pembangunan Sarawak terus terpelihara.

-FN

Tinggalkan komen anda