
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau)/IPD Bau
BAU, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Hari Keluarga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 Tahun 2026 menjadi platform mewujudkan suasana kerja lebih positif dan kondusif dalam kalangan warga pasukan polis.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata, program seperti itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah membantu memupuk semangat kekitaan dan meningkatkan motivasi warga kerja.
“Program seperti ini memberi ruang kepada warga IPD Bau meluangkan masa berkualiti bersama keluarga selain mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni dan penuh semangat kebersamaan.
“Ia secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan pasukan yang lebih berdaya saing dan komited dalam menjalankan tugas,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan menerusi simbolik menyumpit di Padang Bola Sepak IPD Bau.
Program bertemakan “Ceria Bersama, Cipta Memori Selamanya” itu disertai pegawai, anggota, pegawai awam serta ahli keluarga warga IPD Bau.
Pelbagai aktiviti sukaneka turut diadakan bagi memeriahkan sambutan sebelum program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.
-RJ-





