
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Kudat)
KUDAT, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Kesanggupan mendidik murid di Pulau Banggi membawa tuah buat guru Sekolah Kebangsaan Palak apabila diumumkan sebagai antara penerima Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 Tahun 2026.
Aaron Charles, 33, pengiktirafan diterimanya itu menjadi suntikan semangat untuk terus berbakti dan memastikan murid di kawasan terpencil tidak tercicir dalam pendidikan.
“Cabaran sebenar sebagai guru pedalaman bukan terletak kepada kekurangan kemudahan atau faktor lokasi, sebaliknya keupayaan pendidik untuk sentiasa kreatif dan fleksibel dalam menyampaikan pembelajaran.
“Setiap murid mempunyai potensi tersendiri dan sebagai guru saya perlu mencari pendekatan sesuai supaya mereka terus yakin serta bersemangat untuk belajar,” katanya Ketika dihubungi Malaysia Aktif, kelmarin.
Beliau berkata anugerah yang turut didedikasikannya itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Kudat, warga sekolah, keluarga dan komuniti setempat yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perkhidmatannya juga bukan suatu penamat, sebaliknya amanah untuk terus memberikan yang terbaik.
Anak jati Kudat itu berkata, pengorbanan berjauhan daripada keluarga adalah sebahagian tanggungjawab seorang guru demi memastikan akses pendidikan dapat dinikmati murid di Pulau Banggi.
Menurut beliau, detik paling bermakna sepanjang bergelar pendidik ialah apabila bekas murid kembali bertemu dan berkongsi kejayaan hasil ilmu yang dipelajari di sekolah.
“Apabila bekas murid memaklumkan ilmu yang diajar memberi manfaat dalam kehidupan mereka, itu sudah cukup bermakna buat seorang guru,” katanya.
Selain mengajar, Aaron turut aktif bersama komuniti kampung termasuk menjadi Penyelaras dan Guru Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP) selama dua tahun bagi merapatkan hubungan sekolah dengan masyarakat setempat.
-RJ-





