
Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Karnival Lindung Kerjaya TVET MyFutureJobs dan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah AADK diadakan untuk menyediaan peluang pekerjaan secara terus kepada kumpulan sasar sekali gus membantu mereka membina masa depan yang lebih baik, kata Pengarah AADK Negeri Johor Mohd Faisal Maksom.

Kaunter pameran AADK Negeri Johor turut mendapat perhatian pengunjung.
“Program seperti ini bukan sahaja membuka peluang kerjaya, malah memberi harapan baharu kepada peserta untuk kembali membina kehidupan yang lebih positif dan produktif,” katanya ketika merasmikan program yang berlangsung di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Batu Pahat, di sini semalam.
Menurut beliau lagi, program yang menyasarkan pelajar ADTEC, orang awam serta Orang Kena Pantau (OKP) dirancang untuk dilaksanakan secara tahunan di lokasi berbeza bagi memastikan penyampaian maklumat dapat diperluaskan kepada masyarakat.

Zuraidah, menyampaikan taklimat kesediaan mental kepada peserta program.
Sementara itu, Pegawai Psikologi ADTEC Batu Pahat Zuraidah Daud turut menyampaikan pengisian berkaitan kesediaan mental buat para peserta yang bakal menempuh alam pekerjaan.
Seramai 400 peserta hadir melibatkan penyertaan institusi pendidikan termasuk ADTEC Mersing, ADTEC Tangkak, Kolej Komuniti Batu Pahat dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh.
Program anjuran ADTEC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor dan Pusat Kesihatan Mental Komuniti (MENTARI) Batu Pahat dilihat menjadi platform penting dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain menyokong usaha membudayakan gaya hidup bebas dadah dalam kalangan masyarakat.
-RI





