Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

40 Pelajar Kurang Berkemampuan Terima Pembelajaran Inklusif Di Bukit Bendera

By 8 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Noor Ain Mohd Zain

BUKIT BENDERA, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 40 pelajar daripada komuniti kurang berkemampuan menerima pembelajaran inklusif gabungan sains, teknologi dan pemeliharaan alam sekitar menerusi Program Sehari Kesedaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Biodiversiti di Bukit Bendera.

Ketua Penyelidik, Shakinah Ravindran berkata program berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran STEM secara langsung, malah membantu peserta memahami hubungan antara sains dan alam sekitar dalam kehidupan harian.

“Melalui program ini, pelajar dapat melihat sendiri bagaimana sains dan alam sekitar saling berkait dalam kehidupan seharian. Kami mahu mereka belajar melalui pengalaman sebenar, bukan hanya teori di dalam kelas,” katanya, di sini kelmarin.

Program anjuran Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) dengan kerjasama USAINS Holding Sdn. Bhd. dan Universiti Sains Malaysia (USM) itu turut menjadi platform memperkukuh kesedaran generasi muda terhadap kepentingan biodiversiti dan pengurusan alam sekitar secara lestari.

Program itu juga menyaksikan pemasangan lima kotak sarang burung pungguk jelapang pada ketinggian kira-kira 833 meter dari aras laut, antara yang tertinggi di Malaysia.

Shakinah berkata penggunaan Burung Pungguk Jelapang sebagai agen kawalan biologi semula jadi mampu mengurangkan kebergantungan terhadap racun tikus berasaskan bahan kimia yang berpotensi menjejaskan keseimbangan ekosistem.

“Kotak sarang ini bukan sekadar infrastruktur pemuliharaan, tetapi juga platform pendidikan yang membolehkan pelajar memahami konsep ekosistem, hubungan pemangsa dan mangsa serta kepentingan pengurusan alam sekitar secara lestari,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda