
Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SHAH ALAM, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Orang ramai diseru untuk bersama-sama membantu pihak berkuasa dan badan berkaitan dalam membanteras kegiatan mencuri kabel serta vandalisme infrastruktur telekomunikasi yang dilihat semakin berleluasa ketika ini.
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata meskipun kes di Selangor menunjukkan trend penurunan, isu tersebut perlu dibanteras kerana mampu mengancam pembangunan negara serta menjejaskan kehidupan harian rakyat.
“Dalam tahun-tahun sebelum ini kita mengalami jumlah kes yang agak tinggi dengan banyak insiden direkodkan.
“Tapi untuk suku pertama tahun ini, kita dapat melihat laporan semakin berkurangan disebabkan langkah-langkah yang dibuat pihak telco serta langkah-langkah mengukuhkan struktur telekomunikasi dan dipantau oleh MCMC,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Selangor 2026 di Kelab Shah Alam, di sini, semalam.
Menurut Amirudin, lebih 100 insiden kecurian kabel masih direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah insiden tertinggi di negara ini.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada penglibatan masyarakat awam sebagai sebahagian daripada strategi membanteras kegiatan kecurian dan vandalisme terhadap infrastruktur digital.
“Sebelum ini pihak telco, pihak autoriti, sekarang orang awam juga terlibat bersama-sama supaya kegiatan mencuri kabel dan vandalisme terhadap kemudahan digital ini dapat dikurangkan.
“Usaha tersebut penting bagi memastikan agenda negeri pintar Selangor tidak terjejas dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu Penasihat Kanan Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Zulkarnain Mohd. Yasin, berkata sebanyak 1,836 kes direkodkan di Selangor pada tahun 2024, manakala 1,273 kes dicatatkan pada 2025.
Menurutnya, selain menjejaskan operasi perniagaan, industri telekomunikasi turut menanggung kerugian melebihi RM20 juta setiap tahun bagi kerja pembaikan dan pemulihan infrastruktur yang rosak atau dicuri.
“Usaha melindungi infrastruktur ini memerlukan pendekatan menyeluruh serta penyelarasan tindakan yang lebih kukuh antara semua pihak.
“Dalam hal ini, MCMC bersama Kerajaan Negeri Selangor, PDRM, pihak berkuasa tempatan dan pihak industri sedang memperkukuh usaha pencegahan termasuk melalui cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi,” katanya.
-AA-





