
Laporan/foto: Nur Amielia/Nur Haziqah Nabilah (Kerian)
KERIAN, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Usaha serta kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat Bagan Serai (KEMAS Bagan Serai) dan komuniti Kampung Parit Haji Ismail 3 kini telah membuahkan hasil setelah produk keropok ikan selayang mereka berjaya dipasarkan ke seluruh negara.
Menurut Guru KEMAS Sara Osman, KEMAS Bagan Serai memainkan peranan penting dalam membantu komuniti kampung itu dari segi latihan kemahiran, pengurusan pembangunan produk, pemasaran jualan dan tenaga pengajar bagi memastikan produk yang dihasilkan dapat dipertingkatkan kualitinya serta mampu bersaing di pasaran.
“Pencapaian ini secara tidak langsung memberi peluang kepada komuniti kampung untuk menambah pendapatan sampingan sehingga ada yang berjaya menjana pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa aktiviti sampingan yang dijalankan secara konsisten dan mendapat sokongan serta bimbingan yang baik mampu meningkatkan ekonomi dan pendapatan komuniti luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Penghasilan Keropok Ikan Selayang bersama Komuniti Kampung Parit Haji Ismail 3, di sini kelmarin.
Pengasas Keropok Ikan Selayang Kampung Parit Haji Ismail 3, Siti Aminah Ismail, 56, mengakui program bersama KEMAS yang disertai dengan pengalaman dan minatnya dalam bidang makanan tradisional berjaya menghasilkan produk tersebut.
Siti Aminah turut bersyukur kerana keropok ikan selayang turut mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Dengan adanya sokongan pelbagai pihak, aktiviti pembuatan keropok ikan selayang ini diyakini mampu berkembang seiring dengan perubahan dan diteruskan oleh generasi muda,” katanya.
-RI





