
Laporan/foto: Nurhamisa Rapi (Pitas)
PITAS, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Selepas pulang tangan kosong pada edisi lalu, peniaga ikan, Shellwster Unsinar akhirnya dinobatkan juara kategori berat ikan terkumpul pada Pertandingan Memancing sempena Pesta Pitas 2026, kelmarin.
Shellwster, 41, menewaskan 151 peserta lain selepas berjaya menaikkan lima ekor ikan dalam pertandingan yang berlangsung meriah di pesisir perairan daerah itu.
Lebih manis, lelaki yang mencari rezeki sebagai penjual ikan itu turut meraih tempat kelima bagi kategori ikan tunggal terberat, menjadikan penyertaannya tahun ini paling bermakna selepas gagal membawa pulang sebarang hadiah sebelum ini.
Menurutnya, minat terhadap aktiviti memancing sudah sebati dengan kehidupan hariannya kerana kerjayanya banyak berkait rapat dengan hasil laut.
“Syukur kerana tahun ini ada rezeki untuk menang. Tahun lalu saya tidak dapat apa-apa, jadi kemenangan kali ini memang sangat bermakna buat saya.
“Memancing sudah menjadi sebahagian daripada rutin hidup saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, kelmarin.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Datuk Harun Durabi berkata pertandingan memancing itu berjaya menarik penyertaan pemancing dari beberapa daerah berhampiran.
Beliau berkata acara berkenaan bukan sahaja memeriahkan Pesta Pitas 2026, malah menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti riadah yang sihat.
“Ia juga dapat menarik kehadiran pengunjung luar serta membantu merancakkan ekonomi penduduk tempatan terutama peniaga kecil dan pengusaha makanan,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Memancing Daerah Pitas sempena sambutan Pesta Pitas 2026.
-FN





