Skip to main content
Berita TempatanSarawak

KPDN Kesan Individu, Syarikat Terlibat Penyelewengan Diesel

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 21 Mei (MalaysiaAktif) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti serta rantaian pengedaran minyak diesel termasuk sumber bekalan bahan api berkenaan diperoleh.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Sri Aman, Qartinee Mohamad Esa berkata siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 itu susulan pihaknya menerima satu kes serahan berkaitan tangkapan melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel di kawasan Betong, semalam.

“Kes diterima daripada Cawangan Risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 23 Sri Aman. Hasil pemeriksaan dan tindakan lanjut yang dijalankan, KPDN telah menyita sebuah lori tanker bersama minyak diesel dianggarkan sebanyak 2,500 liter.

“Anggaran nilai rampasan bagi minyak diesel tersebut adalah sebanyak RM12,250 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM262,250,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu siasatan mengikut Seksyen 21 akta berkenaan dibuat pihaknya berhubung kes tersebut yang memperuntukkan mana-mana pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua, jika sabit kesalahan.

“Bagi individu pula, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda