Skip to main content
Rencana & Pendapat

Makanan Ringan Jana Pendapatan Pengusaha Kecil

By 25 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Pokok Sena)

ALOR SETAR, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Bermula dengan minat dalam bidang pembuatan makanan ringan sejak tahun 2014, seorang usahawan tempatan kini mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil perusahaan pelbagai jenis makanan tradisional dan moden.

Awatif Abu, 47, berkata beliau mengusahakan pelbagai produk makanan termasuk tiga jenis maruku, buah rotan, piza serta bangkit keju di bengkel miliknya di Kampung Kubang Lintah, Mukim Lepai dekat sini bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama menjelang musim perayaan.

Menurut beliau, produk maruku kacang pis menjadi pilihan utama pelanggan pada musim perayaan, manakala piza dan piza talam pula mendapat sambutan menggalakkan pada hari biasa.

“Musim raya memang maruku kacang pis paling banyak orang tempah, tetapi hari biasa pelanggan lebih suka pizza dan piza talam,” katanya ketika ditemui di bengkelnya, di sini baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan pernah menerima bantuan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi membantu mengembangkan perusahaan yang diusahakan secara kecil-kecilan sebelum ini.

Mengulas cabaran sepanjang bergelar usahawan Awatif, berkata beliau perlu bijak mengurus masa kerana mempunyai anak autisme yang memerlukan perhatian khusus.

“Saya kena pandai bahagikan masa sebab kadang-kadang anak tidak sihat dan perlukan perhatian. Selain itu, cabaran lain ialah masalah pekerja yang datang tidak ikut masa kerja ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi nasihat kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang perniagaan agar sentiasa bijak mengurus aliran kewangan serta bersabar dalam melayani kerenah pelanggan.

“Kena pandai urus duit keluar masuk supaya modal tidak putus dan dalam berniaga juga kita perlu banyak bersabar dengan perangai pelanggan,” ujarnya.

Kejayaan Awatif membuktikan bahawa semangat cekal, pengurusan masa yang baik serta kesabaran tinggi mampu membantu usahawan kecil terus bertahan dan berkembang walaupun berdepan pelbagai cabaran kehidupan.

-RI

Tinggalkan komen anda