Skip to main content
Rencana & Pendapat

Moktar Buktikan Usia Bukan Penghalang Berjaya Ternak Lembu

By 25 Mei 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Asmawati/Lyana Athirah (Kota Setar)

ALOR SETAR, 25 Mei (MalaysiaAktif) –  Faktor usia tidak menghalang seorang warga emas berjaya dan terus aktif mengusahakan penternakan lembu.

Mohamad Moktar Ishak, 70, dari Kampung Jawa, di sini, berkata minat terhadap bidang penternakan mula timbul sejak remaja apabila beliau sering mengikuti bapanya menjaga lembu di kampung.

Beliau berkata pengalaman tersebut menjadi asas penting sehingga beliau mengambil keputusan mengusahakan penternakan secara serius pada 2010 dengan hanya tiga ekor lembu.

“Walaupun berdepan cabaran seperti kenaikan harga makanan ternakan dan kos rawatan haiwan, saya tidak pernah berputus asa untuk meneruskan perusahaan ini,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kegigihan dan usaha berterusan menjadi kunci utama kejayaan dalam bidang penternakan.

Katanya lagi, bidang penternakan memerlukan tahap kesabaran dan komitmen yang tinggi kerana ternakan perlu dipastikan sentiasa berada dalam keadaan sihat selain dijaga dengan rapi setiap hari.

“Setiap hari, saya akan memastikan kandang berada dalam keadaan bersih, makanan ternakan mencukupi serta kesihatan lembu sentiasa dipantau bagi mengelakkan risiko penyakit,” katanya.

Moktar, berkongsi pengalaman ketika ditemu ramah oleh warga Pejabat Penerangan Daerah Kota Setar di kediamannya di Kampung Jawa.

Ternakan yang menjadi sumber pendapatan utama keluarganya dengan hasil usaha berterusan dan pengalaman bertahun-tahun, beliau kini berjaya memasar lembu di sekitar daerah Alor Setar bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama untuk kenduri, jualan dan ibadah korban.

Mohamad Moktar turut menghargai bantuan kerajaan menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang disifatkan banyak membantu memperluaskan perusahaan ternakan lembunya.

Menurut beliau, bantuan itu memberi peluang kepada pengusaha kecil sepertinya untuk meningkatkan kemudahan penternakan, menambah bilangan ternakan serta memperbaiki pengurusan kandang secara lebih sistematik dan teratur.

“Sokongan kerajaan amat penting bagi membantu penternak terus bertahan terutama ketika berdepan kenaikan kos makanan ternakan dan kos operasi yang semakin meningkat,” katanya.

Dalam menguruskan perusahaan tersebut, beliau turut mendapat bantuan daripada isteri dan anak-anak terutama dalam penyediaan makanan ternakan, menjaga kebersihan kandang serta menguruskan jualan apabila diperlukan.

Katanya, sokongan keluarga menjadi kekuatan utama untuk beliau terus bertahan dan memajukan perusahaan penternakan yang diusahakan sejak sekian lama.

Beliau berharap lebih ramai golongan muda berminat menceburi bidang penternakan kerana industri tersebut mempunyai potensi besar untuk berkembang selain mampu menjana pendapatan yang stabil sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Kisah Mohamad Moktar membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk terus berjaya, malah pengalaman, ketekunan dan sokongan keluarga mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan dalam bidang penternakan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.

-RI

Tinggalkan komen anda