
Laporan/foto: Aileen Madeh Nension (Lubok Antu)
LUBOK ANTU, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Makan Malam Mantar Gawai Dayak Peringkat Daerah Lubok Antu 2026 berlangsung meriah kelmarin dengan penglibatan aktif masyarakat pelbagai kaum.
Acara bersempena sambutan Hari Gawai Dayak tersebut mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang terus kukuh di daerah berkenaan.
Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan Sarawak Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh serta Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Anggau Gingkoi.
Malcom menyeru masyarakat agar terus mengekalkan perpaduan, menghormati kepelbagaian budaya serta bersama-sama membangunkan daerah Lubok Antu ke arah lebih maju.
“Majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum, malah menjadi medium penting dalam memastikan adat dan budaya masyarakat Dayak terus dipelihara serta dihargai oleh generasi muda,” katanya.
Beliau menjelaskan sambutan itu turut memperkukuh hubungan silaturahim serta memelihara adat dan budaya warisan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Pelbagai persembahan kebudayaan tradisional masyarakat Dayak seperti tarian ngajat dan Gendang Papat tradisional memeriahkan majlis serta berjaya menarik perhatian tetamu.
Kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik jelas memperlihatkan semangat kebersamaan dan toleransi yang menjadi kekuatan utama komuniti setempat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan memerlukan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan penduduk.
-RJ-






