Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Nasi Ayam Pasu Tarik Perhatian Warga Kuala Terengganu

By 19 Mei 2026Mei 20th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Izzah Insyirah (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Bermula sekadar jualan bermusim sepanjang Ramadan, perniagaan Nasi Ayam Pasu kini semakin mencuri perhatian warga Kuala Terengganu apabila menu unik itu menjadi pilihan ramai kerana keenakan rasa serta harga yang berpatutan.

Pemilik perniagaan Nasi Ayam Pasu, Nurlida Natasha, 26, berkata dia bersama suami pada awalnya hanya menjual ayam pasu setahun sekali pada bulan puasa bagi menambah pendapatan keluarga.

Menurutnya, sambutan luar biasa daripada pelanggan mendorong mereka untuk meneruskan perniagaan tersebut secara lebih serius sehingga kini.

“Pada peringkat awal, kami hanya menjual ayam pasu sahaja. Namun bermula tahun lalu, kami memperkenalkan pula Nasi Ayam Pasu sebagai kelainan untuk pelanggan kerana menu seperti ini agak rare dan sukar ditemui di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di gerai perniagaannya di sini, hari ini.

Keunikan penyediaan ayam menggunakan pasu tanah bersama aroma rempah yang meresap menjadikan hidangan tersebut semakin digemari pelbagai lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila pelanggan boleh menikmati menu istimewa itu pada harga serendah RM7, sekali gus menjadikannya pilihan makanan yang mesra poket.

Kini, Nasi Ayam Pasu bukan sahaja menjadi identiti perniagaan mereka, malah berjaya menarik perhatian pelanggan dari sekitar Kuala Terengganu yang ingin mencuba sendiri keenakkan menu unik berkenaan.

-AA-

Tinggalkan komen anda