
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Program gotong-royong membasmi denggi melibatkan penduduk setempat bersama pelbagai agensi kerajaan telah diadakan di sekitar Bandar Baharu semalam sebagai langkah proaktif mengurangkan risiko penularan denggi melalui pemusnahan lokasi pembiakan nyamuk Aedes.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bandar Baharu itu memberi tumpuan kepada aktiviti pembersihan kawasan persekitaran, termasuk menghapuskan takungan air yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Menurut petugas PKD Bandar Baharu, Saiful Nizam Zainol, usaha bersepadu tersebut bukan sahaja bertujuan membersihkan kawasan persekitaran, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan awal denggi.
“Program ini memberi fokus kepada pembersihan kawasan dan penghapusan tempat takungan air yang boleh menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes. Penglibatan aktif komuniti bersama agensi kerajaan amat penting bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih dan bebas daripada risiko wabak denggi,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Program dengan kerjasama Majlis Daerah Bandar Baharu, penduduk setempat serta beberapa agensi lain itu sebagai simbol komitmen bersama dalam menangani isu kesihatan awam di kawasan tersebut.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk membersihkan longkang tersumbat, mengemas kawasan terbiar serta melupuskan bekas-bekas yang boleh menakung air seperti tin, botol dan tayar lama selain penggunaan bahan pembunuh jentik-jentik (Abate) di lokasi dikenal pasti berisiko bagi memutuskan kitaran pembiakan nyamuk Aedes.
Penduduk turut diberikan penerangan berkaitan langkah pencegahan denggi termasuk amalan 10 Minit Seminggu yang menekankan pemeriksaan berkala di kawasan rumah bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.
Seorang penduduk, Hishammudin Baharin, 56, berkata usaha menjaga kebersihan persekitaran amat penting dalam mencegah penularan denggi.
“Kebersihan kawasan sangat penting bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes,” ujarnya.
-AA-





