
Laporan/foto: Munica Kiat (Ranau)
RANAU, 25 Mei (MalaysiaAktif)– Pembukaan Pondok Polis Komuniti (PPK) di Bundu Tuhan, Kundasang menjadi benteng awal keselamatan kawasan pelancongan tanah tinggi itu menerusi respons lebih pantas terhadap aduan dan jenayah komuniti.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rani Alias berkata kehadiran anggota polis di lapangan membantu mencegah jenayah serta memastikan aspek keselamatan awam sentiasa diberi perhatian di kawasan ini.
Saya menyeru masyarakat agar terus membantu pihak polis dalam memelihara keamanan dan berharap pondok polis ini menjadi pusat keselamatan yang memberi manfaat kepada penduduk khususnya di Bundu Tuhan dan Kundasang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PPK berkenaan, di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau Supt Mursalin Mahmud berkata kewujudan pondok polis tersebut berperanan sebagai pusat respons awal pemantauan keselamatan selain medium mendekatkan perkhidmatan polis kepada masyarakat.
Dengan adanya kemudahan ini, saya berharap keyakinan masyarakat terhadap keselamatan setempat akan terus dipertingkatkan selaras dengan semangat polis dan masyarakat berpisah tiada.
Keperluan terhadap aspek keselamatan kini semakin mencabar dan kompleks, justeru kemudahan itu diyakini mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di sekitar Bundu Tuhan,” katanya.
-RJ-





