
Laporan/foto: Nur Azean Makbul (Tuaran)
TUARAN, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) terus memainkan peranan memelihara warisan budaya Bajau Sama menerusi pameran sempena Sambutan Pesta Kaamatan Daerah Tuaran 2026.
Pengurus Besar PRBSS, Mohd Kamaludin Daud berkata ia bukan sekadar ruang pameran, tetapi medium pendidikan budaya agar masyarakat lebih memahami asal-usul serta nilai tradisi yang diwarisi turun-temurun.
“Pameran ini menarik perhatian pengunjung apabila komuniti Bajau Sama dari Kota Belud menampilkan parang buatan tangan yang dihasilkan menerusi kemahiran tradisional,” katanya ketika ditemui di Padang Pekan Tuaran, kelmarin.
Pengusaha parang, Abdul Halim Abdul Majid, 34, menjelaskan penyertaan dalam program tersebut memberi peluang mengetengahkan seni pertukangan warisan kepada khalayak lebih luas.
“Parang ini bukan sekadar produk, tetapi lambang seni dan kemahiran tradisi yang diwarisi sejak generasi terdahulu,” katanya.
Sementara itu, pengunjung, Fredlee Sintau, 37, menyifatkan pameran itu memberi pendedahan baharu mengenai sejarah dan keunikan budaya Bajau Sama.
“Banyak perkara yang saya baru tahu mengenai komuniti Bajau Sama dan pameran ini sangat bermanfaat serta membuka pengetahuan masyarakat,” katanya.
PRBSS yang terletak di Kampung Lok Batik, Tuaran, menjadi lokasi pelbagai program kebudayaan dan bengkel seni tradisional dalam usaha memperkukuh pemeliharaan identiti budaya.
Pusat kebudayaan tersebut turut aktif menjalankan aktiviti komuniti bagi memastikan warisan Bajau Sama di Sabah terus terpelihara.
-RJ-





