
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Polis Daerah Pontian
PONTIAN, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Polis menahan 18 individu termasuk dua lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran keluar dan masuk Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di tiga lokasi di daerah ini dan Iskandar Puteri, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pontian Supt Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata tiga lokasi tersebut ialah di Kampung Rambah di Pontian, Gelang Patah, Iskandar Puteri dan Kampung Perpat Timbul, Permas di sini.
Beliau berkata Op Pintas Bersepadu antara 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi itu melibatkan keanggotaan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dengan bantuan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Kukup serta IPD Iskandar Puteri.
“Tujuh individu ditahan iaitu empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia serta dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai transporter, tekong darat, tekong bot penjaga rumah penampungan dan penarik pantai.
“Manakala, 11 migran warga Indonesia termasuk dua wanita turut ditahan disyaki terlibat kegiatan keluar dan masuk Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.
Hadzrat Hussien berkata kesemua tahanan berusia 20 hingga 52 tahun itu negatif ujian saringan dadah dan dipercayai aktif dalam jenayah tersebut sejak Januari lepas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
-RI





